CHENNAI, 6 Disember – Skuad remaja negara, Young Tigers, akhirnya menamatkan rentetan kekalahan dalam saingan Hoki Piala Dunia Remaja 2025 selepas mencatat kemenangan meyakinkan 7–3 ke atas Switzerland dalam perlawanan penentuan tempat ke-13 hingga ke-16.
Pasukan kendalian Nor Saiful Zaini memulakan perlawanan dengan agresif apabila dua jaringan pantas dijaringkan pada minit ke-4 dan 5 melalui pukulan sudut penalti oleh Muhammad Aqil Danial dan Azimuddin Shakir Kamaruddin.
Switzerland bawah bimbingan Jair Levie cuba bangkit, dan berjaya merapatkan jurang hasil jaringan Max Fischbach pada minit ke-13.
Namun Young Tigers kembali menguasai permainan. Harris Osman dan Rahul menambah dua lagi gol menjelang rehat, menjadikan kedudukan 4–1.
Memasuki babak kedua, Malaysia terus menekan. Azimuddin dan Aqil menambah gol masing-masing, manakala ketua pasukan Muhammad Danish Aiman turut mencetak nama sebagai penjaring.
Switzerland memperolehi dua gol tambahan hasil gerakan pantas serta situasi power play, namun ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan negara dengan keputusan muktamad 7–3.
Kemenangan ini hadir pada waktu yang tepat, bukan sahaja menyuntik semula keyakinan Young Tigers, tetapi turut memastikan Malaysia kekal bersaing untuk menamatkan kejohanan di kedudukan yang lebih baik.