PARIS, 4 Januari — Buat pertama kali dalam hampir 36 tahun, bola sepak Perancis kembali menyaksikan derbi Paris dalam saingan tertinggi apabila juara bertahan Paris Saint-Germain berdepan Paris Football Club (PFC) dalam aksi Ligue 1 di Parc des Princes, Ahad ini.
Perlawanan bersejarah itu menamatkan penantian panjang ibu kota Perancis untuk derbi domestik, selepas kali terakhir dua kelab Paris bertemu dalam Ligue 1 pada 25 Februari 1990, ketika Racing Paris menewaskan PSG 2-1.
Bekas kapten PSG, Jean-Marc Pilorget berkata, persaingan ketika itu cukup sengit apabila kedua-dua pasukan sedang membina nama di pentas nasional.
“Memang ada persaingan sebenar. PSG sedang naik, manakala Racing pula dibentuk dengan pelaburan besar dan penuh cita-cita. Kami memang tak mahu kalah,” katanya kepada AFP.
Derbi Paris kembali menjadi realiti selepas PFC meraih promosi dari Ligue 2 musim lalu hasil pelaburan keluarga Arnault, pemilik LVMH, sekali gus menghidupkan semula rivaliti yang lama terpendam.
Sejarah hubungan kedua-dua kelab itu unik apabila PSG dan PFC sebenarnya bermula daripada entiti yang sama pada awal 1970-an, sebelum berpisah dan melalui laluan berbeza dalam piramid bola sepak Perancis.
Bekas pemain PFC, Jean-Jacques Amorfini menyifatkan derbi kali ini jauh berbeza berbanding era lalu.
“Dulu suasananya biasa saja, tiada hype, tiada siaran langsung — macam zaman pertengahan. Sekarang ini lain, besar untuk Paris dan dua kelab,” katanya.
Kali terakhir PSG dan PFC bertemu di Parc des Princes pada 1978, stadium itu tidak penuh, namun Ahad ini dijangka sesak, mencerminkan kebangkitan semula derbi Paris yang sekian lama hilang daripada peta Ligue 1. – AFP