Piala Davis: Sepanyol jumpa Itali di pentas akhir

BOLOGNA, 23 November – Juara enam kali kejohanan, Sepanyol mara ke pentas akhir Piala Davis selepas menewaskan Jerman 2-1 dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sepanyol mara ke final Piala Davis selepas kemenangan beregu penentuan Granollers dan Martinez ke atas Jerman.
  • Pablo Carreno Busta buka jaringan untuk Sepanyol, manakala Alexander Zverev menyamakan kedudukan sebelum beregu menentukan.
  • Sepanyol memburu kejuaraan ketujuh menentang juara bertahan Itali di perlawanan akhir.

Kemenangan tersebut dicapai menerusi pasangan beregu Marcel Granollers dan Pedro Martinez yang menewaskan beregu Jerman Kevin Krawietz dan Tim Puetz dalam aksi tiga set 6-2, 3-6, 6-3.

Pada perlawanan itu, pasangan Sepanyol itu bermula garang, mendahului 4-0 dalam set pertama sebelum menang mudah 6-2.

Bagaimanapun, pasangan Jerman, Krawietz dan Puetz bangkit pada set kedua dengan kemenangan 6-3 sekali gus memaksa perlawanan ke set penentuan.

Pasangan Sepanyol, Marcel Granollers dan Pedro Martinez kembali mempamerkan aksi cemerlang untuk memenangi set penentuan 6-3 bagi memastikan slot Sepanyol ke pentas akhir bertemu Itali pada Ahad.

Terdahulu, Sepanyol berjaya meraih mata pertama menerusi pemain perseorangan lelaki, Pablo Carreno Busta yang menewaskan Jan-Lennard Struff 6-4, 7-6(6) pada perlawanan pembukaan.

Jerman kemudiannya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Alexander Zverev yang menewaskan Jaume Munar 7-6(2), 7-6(5).

Sepanyol yang kali terakhir memenangi Piala Davis pada 2019, kini memburu kejuaraan ketujuh menentang juara bertahan Itali yang menumpaskan Belgium pada satu lagi separuh akhir. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.