Bangladesh minta India ekstradisi bekas PM Sheikh Hasina yang dihukum gantung

DHAKA, 24 November – Bangladesh telah menghantar satu lagi permohonan rasmi kepada India untuk mengekstradisi bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang kini bersembunyi di India selepas digulingkan pada Ogos 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bangladesh menghantar permohonan ekstradisi ketiga kepada India untuk menuntut pemulangan bekas PM Sheikh Hasina, yang kini bersembunyi di India.
  • Hasina, 78, dijatuhkan hukuman gantung atas sabitan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan tindakan keras terhadap kebangkitan pelajar.
  • India belum berkomitmen untuk menyerahkannya, walaupun Bangladesh menegaskan kewajipan di bawah perjanjian dua hala; hubungan kedua negara kini beralih antara ketegangan dan dialog.

Menteri Hal Ehwal Luar Bangladesh, Touhid Hossain berkata penghantaran surat terbaharu itu merupakan permohonan ekstradisi ketiga, sejak Hasina melarikan diri.

Hasina, 78 tahun, baru sahaja dijatuhkan hukuman gantung pada awal minggu ini, selepas mahkamah mensabitkannya dengan jenayah terhadap kemanusiaan.

Menurut data PBB, jenayah terbabit termasuk tindakan keras terhadap kebangkitan pelajar yang menyebabkan sehingga 1,400 kematian.

“India setakat ini hanya menyatakan telah mengambil maklum keputusan mahkamah, tanpa memberi komitmen terhadap permintaan ekstradisi itu. Ini walaupun Bangladesh menegaskan India mempunyai tanggungjawab wajib bawah perjanjian dua hala untuk memulangkan Hasina,” kata Touhid di sini.

Sejak kejatuhan Hasina, Bangladesh terus bergelut dengan ketidakstabilan politik dan insiden keganasan menjelang pilihan raya yang dijangka berlangsung pada Februari 2026.

Hubungan kedua-dua pihak menunjukkan sedikit pemulihan apabila Penasihat Keselamatan Negara Bangladesh, Khalilur Rahman, menghadiri sidang keselamatan di India minggu ini dan bertemu rakan sejawatnya Ajit Doval.

Media tempatan melaporkan Doval turut menerima jemputan untuk melawat Dhaka. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.