Maduro mengaku tidak bersalah

NEW YORK, 6 Januari -Bekas pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, mengaku tidak bersalah pada Isnin di sebuah mahkamah New York atas pertuduhan pengedaran dadah dan senjata.

“Saya tidak bersalah, saya tidak bersalah,” kata Maduro, 63, di hadapan mahkamah, sambil menambah beliau ditahan di kediamannya di Caracas dan masih menganggap dirinya sebagai presiden Venezuela, menurut laporan media AS yang hadir di dalam mahkamah.

Perbicaraan itu menandakan langkah pertama dalam prosiding undang-undang terhadap Maduro selepas penangkapannya yang mengejutkan oleh pasukan AS.

Maduro bersama isterinya Cilia Flores, dibawa ke mahkamah di Manhattan bawah kawalan keselamatan ketat untuk berdepan pertuduhan pengedaran dadah.

Kira-kira 40 orang mengadakan bantahan di luar mahkamah, terhadap campur tangan Amerika Syarikat, manakala sekumpulan kecil yang lain menyatakan sokongan terhadap tindakan itu.

Pasangan berkenaan ditahan oleh komando AS pada awal pagi Sabtu.

Dalam beberapa pengumuman mengejutkan sepanjang hujung minggu, Presiden Donald Trump menyatakan bahawa Amerika Syarikat kini mentadbir Venezuela dengan matlamat membangunkan semula serta mengawal industri minyak negara itu yang besar tetapi uzur.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberitahu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB bahawa prinsip kedaulatan, kemerdekaan politik dan keutuhan wilayah perlu dihormati.

Kritikan keras turut datang dari Mexico apabila Presiden Claudia Sheinbaum berkata benua Amerika “bukan milik sesiapa”. Presiden Colombia, Gustavo Petro pula mengeluarkan kenyataan lantang dengan menyatakan kesediaannya “mengangkat senjata” menentang Trump.

Di Caracas, kira-kira 2,000 penyokong Maduro, termasuk lelaki bersenjata menaiki motosikal, berhimpun pada Ahad sambil mengibarkan bendera Venezuela.

Pada Isnin, ahli parlimen Venezuela turut melaungkan sokongan terhadap pemimpin yang digulingkan itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.