NEW DELHI, 5 Januari – Ratusan ahli dan penyokong parti politik berhaluan kiri di India mengadakan tunjuk perasaan di New Delhi dan beberapa bandar lain sebagai tanda solidariti terhadap Venezuela serta mengecam serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara Amerika Selatan itu.
Protes tercetus susulan penangkapan pemimpin Venezuela Nicolas Maduro dan dibawa ke sebuah pusat tahanan di New York bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dadah.
Tindakan itu dilakukan selepas Presiden AS, Donald Trump, mengarahkan satu operasi serbuan yang disifatkan berani dan mengumumkan hasrat Washington untuk mengambil alih negara pengeluar minyak itu.
Beberapa parti berhaluran kiri menyertai protes tersebut termasuk Parti Komunis India (CPI), Parti Komunis India (Marxis) dan Forward Bloc dengan melaungkan slogan anti Trump.
Protes berlangsung di ibu negara India serta di bandar Vijayawada di selatan negara itu.
Sementara itu, ahli Parlimen Parti Kongres, Manish Tewari, menyifatkan situasi itu membimbangkan. Katanya, ia sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh individu yang berfikiran waras di seluruh dunia.
Tindakan AS dianggap sebagai campur tangan paling kontroversi Washington di Amerika Latin sejak pencerobohan ke atas Panama kira-kira 37 tahun lalu.-REUTERS