AL-ARISH, 19 Oktober – Sebanyak 25 trak yang membawa bantuan kemanusiaan daripada misi ke-17 “Ship of Kindness” Türkiye berlepas pada Sabtu menuju ke pintu sempadan Rafah bagi menghantar bekalan bantuan ke Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
- 25 trak misi “Ship of Kindness” Türkiye berlepas membawa kira-kira 900 tan bantuan ke Gaza, diselaraskan oleh AFAD dan 17 NGO.
- Lebih separuh kargo dipunggah di Pelabuhan al-Arish, termasuk susu formula bayi, makanan siap dimakan dan tin.
- Konvoi dipantau pegawai AFAD dan dijangka tiba di pintu sempadan Rafah dalam kira-kira 45 minit, dengan usaha menghantar baki segera.
Penghantaran diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Türkiye (AFAD) dan disokong 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), berlepas dari pelabuhan selatan Mersin pada 14 Okt membawa kira-kira 900 tan bantuan.
Operasi pemunggahan diteruskan di Pelabuhan al-Arish, Mesir dengan lebih separuh daripada kargo termasuk susu formula bayi, makanan siap dimakan dan makanan dalam tin telah dipindahkan ke trak.
Pegawai AFAD memantau pelepasan konvoi dari pelabuhan, dan trak berkenaan dijangka tiba di pintu sempadan Rafah dalam tempoh kira-kira 45 minit.
AFAD memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk menghantar baki bantuan berkenaan ke Gaza secepat mungkin.- BERNAMA-ANADOLU