
BANTING, 6 Januari – Lebih 15,000 projek pembangunan berjaya disiapkan di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tempoh 2023 hingga 2025.
- 15,082 projek prasarana awam disiapkan di seluruh negara di bawah RMK-12 antara 2023-2025.
- Projek merangkumi tandas, medan selera, pasar, longkang, pemparitan, lampu LED dan kemudahan awam lain.
- 14 projek berskala besar diluluskan oleh Kementerian Ekonomi untuk 2025, 10 daripadanya pasar awam baharu.
- PBT terima RM904.3 juta bantuan kewangan, dan RM700,000 diperuntukkan untuk Program Kampung Angkat MADANI.
Perkara tersebut dinyatakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Jelas beliau, projek berkenaan merangkumi pelbagai inisiatif pembangunan bandar dan komuniti di bawah kementerian tersebut, termasuk pembinaan dan naik taraf prasarana awam di kawasan pihak berkuasa tempatan.
“Kita telah berjaya siapkan sepenuhnya 15,082 projek prasarana awam, termasuk tandas, medan selera, pasar, longkang, pemparitan, lampu led, dan lain-lain kemudahan untuk kesejahteraan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Kejayaan (JKT) 2025 di Pasar Awam Sungai Jarom, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, Kementerian Ekonomi turut meluluskan 14 projek berskala besar bernilai RM10 juta dan ke atas bagi tahun 2025, dengan 10 daripadanya melibatkan pembinaan pasar awam baharu.
Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerima RM904.3 juta bantuan kewangan di bawah perbelanjaan mengurus pada tahun lalu, mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pelaksanaan serta pemantauan di peringkat tempatan.
Beliau turut memaklumkan, sebanyak RM700,000 diperuntukkan bagi Program Kampung Angkat MADANI, yang bertujuan memberi manfaat kepada komuniti setempat dan perusahaan kecil, di samping merangsang aktiviti ekonomi luar bandar.