KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 yang terlibat atau terkesan dengan bencana alam dinasihatkan agar memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera.
- Calon SPM 2025 yang terlibat atau terkesan bencana alam dinasihatkan memaklumkan kepada sekolah atau JPN dengan segera.
- KPM menggesa calon menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan atau JPN di seluruh negara untuk bantuan dan makluman.
- KPM bekerjasama dengan agensi berkaitan dan menguatkuasakan SOP bagi memastikan peperiksaan SPM 2025 berjalan lancar dan selamat.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa calon boleh menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan atau JPN di seluruh negara.
“KPM sentiasa cakna terhadap keselamatan serta kebajikan calon dan petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam, khususnya banjir menjelang peperiksaan SPM 2025.
“Sehubungan itu, KPM sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam serta agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar,” menurut kenyataan tersebut.
Kementerian berkenaan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan komited melaksanakan langkah persediaan serta prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM 2025 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.
KPM turut mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat.