Jaga imej Malaysia, KPN gesa perhimpunan bantah kehadiran Presiden Trump dibatalkan

 

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menggesa perhimpunan membantah kehadiran Presiden Trump semasa Sidang Kemuncak ASEAN dibatalkan.
  • PDRM mengadakan rundingan berterusan dengan NGO bagi mengelak perhimpunan di kawasan Pusat Konvensyen.
  • Polis mencadangkan Padang Merbok sebagai lokasi alternatif yang lebih sesuai dan selamat untuk perhimpunan aman.
  • PDRM akan memantau, jalankan risikan dan menasihati orang ramai agar tidak terpedaya maklumat palsu di media sosial.

KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Polis menggesa supaya penganjuran perhimpunan membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung, tidak diadakan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat mengadakan rundingan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengelak perhimpunan diadakan di kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur .

“Kita sedang berusaha untuk melakukan engagement yang berterusan dengan NGO-NGO dan juga mereka yang terlibat bagi memastikan agar tidak melangsungkan perhimpunan ini kerana ia melibatkan imej negara kita,” katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.

Menurut beliau, PDRM menawarkan lokasi alternatif seperti Padang Merbok yang disifatkan lebih sesuai dan selamat untuk menganjurkan perhimpunan secara aman, tanpa menjejaskan kelancaran persidangan antarabangsa itu.

Datuk Seri Mohd Khalid menjelaskan langkah itu juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengekalkan imej Malaysia sebagai tuan rumah yang aman dan berdisiplin dalam penganjuran acara bertaraf dunia.

Katanya, PDRM akan terus memantau situasi semasa dan menjalankan risikan berterusan bagi mengelak sebarang bentuk provokasi atau tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan maklumat tidak sahih di media sosial, selain menyeru agar masyarakat bersama-sama mengekalkan keamanan sepanjang tempoh sidang kemuncak berlangsung.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung 26 Oktober hingga 28 Oktober depan menghimpunkan ketua negara dan ketua kerajaan daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan Australia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.