JOHOR BAHRU, 22 Oktober- Kerja pembaikan struktur jalan mendap dan retak di susur keluar dari lebuh raya ke Taman Desa Mutiara di sini kini berada pada fasa akhir pemasangan serta pengukuhan konkrit dan dijangka siap sepenuhnya pada 27 Oktober, Ahad ini.
- Kerja baik pulih jalan mendap dan retak di susur ke Taman Desa Mutiara guna reka bentuk baharu dengan tetulang T20mm lebih kukuh.
- Punca kerosakan disyaki akibat slab konkrit lubang utiliti nipis dan tetulang lama tidak mampu menampung beban berat.
- Kontraktor serta agensi diarahkan percepat pembaikan dan jamin kawalan keselamatan lalu lintas semasa kerja dijalankan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerja baik pulih itu menggunakan reka bentuk baharu dengan tetulang T20mm yang lebih kukuh dan tahan lama.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kerosakan berpunca daripada struktur slab konkrit pada lubang utiliti yang kecil dan tidak tebal, selain besi tetulang sedia ada gagal menampung beban kenderaan berat.
Katanya lagi, pihak kontraktor dan agensi teknikal yang terlibat telah diarahkan mempercepat kerja pembaikan serta memastikan kawalan keselamatan lalu lintas di kawasan berkenaan sentiasa terjamin.