JPJ Kedah sita kenderaan disyaki terlibat aktiviti penyeludupan diesel

SUNGAI PETANI,18 Februari- Sebuah lori dan sebuah van yang disita oleh Unit Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ cawangan Sungai Petani dalam Operasi 4 Pagi dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel.

Dua kenderaan terbabit ditahan di stesen minyak berhampiran Yarra Park dan Bandar Puteri Jaya sekitar pukul 4.30 pagi hingga 6 pagi semalam.

Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua kenderaan terbabit telah diubah suai bagi memuatkan tangki minyak simpanan.

“Dalam operasi Khas Perayaan Tahun Baharu Cina yang memasuki hari ke-17 itu, JPJ turut menyita tiga buah lori, dua van dan sebuah motorsikal,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semua kesalahan telah dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kaedah-kaedah bawahnya.

Tegas Aman Shah, JPJ Kedah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pesalah tidak kira pesalah jalan raya mahupun pesalah-pesalah lain demi kemakmuran negara.

Sebarang aduan berkaitan salah laku lalu lintas boleh disalurkan ke aduantrafik.kedah@jpj.gov.my.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.