MTL : APM perkukuh kesiapsiagaan, fokus logistik dan pemantauan risiko banjir

KUALA LUMPUR, 22 November – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memperkukuh tahap kesiapsiagaan dengan meningkatkan latihan serta pengukuhan logistik bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka membawa risiko banjir di beberapa negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • APM tingkatkan latihan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut bagi mengurangkan impak banjir.
  • Penempatan anggota APM untuk operasi pemindahan ke PPS dan pemantauan rapi kawasan berisiko.
  • Unit Dron dipertingkat untuk pemantauan udara, pengesanan paras air dan bantuan amaran awal.
  • Pengukuhan logistik termasuk pembaikan kenderaan; kerjasama orang awam, NGO dan agensi diperlukan jika banjir besar.

Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM, Kolonel Mohd Adzhar Mujab, berkata anggota APM akan ditempatkan bagi melaksanakan operasi pemindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta melakukan pemantauan rapi di kawasan berisiko banjir.

Menurutnya, pemantauan udara turut dipertingkat melalui Unit Dron APM bagi meninjau kawasan terjejas serta mengesan peningkatan paras air, sekali gus membolehkan amaran awal diberikan kepada penduduk dan membantu pasukan penyelamat ke lokasi sukar diakses.

“Dari segi logistik, kita sedang menyiapkan keperluan termasuk membaiki kenderaan yang rosak. Kebimbangan kita sekiranya berlaku banjir besar. Jika banjir biasa yang setiap tahun melibatkan antara 44,000 hingga 55,000 mangsa, keadaan masih mampu diurus.

“Namun jika lebih daripada itu, kita memerlukan kerjasama orang awam, NGO dan pelbagai agensi,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa, khususnya arahan berpindah awal, bagi memastikan proses pengurusan banjir dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan selamat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.