Muafakat Kerajaan Perpaduan mantap tanpa unsur sabotaj – PM

PUTRAJAYA, 30 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan muafakat dalam Kerajaan Perpaduan kekal mantap dan ikhlas tanpa sebarang usaha sabotaj atau khianat.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, keadaan itu berbeza dengan situasi yang sedang melanda beberapa perikatan politik lain yang kini berdepan pergolakan dalaman dan krisis kepimpinan.

“Saya bersyukur, Alhamdulillah kerana muafakat Kerajaan Perpaduan MADANI itu lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj atau khianat seperti yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media khas di sini hari ini, selepas diminta mengulas perkembangan politik semasa negara.

Kenyataan tersebut dibuat susulan perkembangan dalam Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan beberapa pemimpin utama gabungan itu mengumumkan peletakan jawatan masing-masing.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari 2026, selepas kira-kira lima tahun menerajui gabungan itu sejak didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020.

Pengumuman tersebut kemudiannya disusuli oleh beberapa pemimpin lain, antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN, Datuk Dr Sahruddin Jamal selaku Pengerusi PN Johor, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) serta Mohamad Hanifah Abu Baker, Pengerusi PN Negeri Sembilan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.