Pelajar UM maut: KPT serah kepada pihak berkuasa

PUTRAJAYA, 23 Oktober – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung kematian pelajar Universiti Malaya (UM), yang dipercayai terjatuh dari bangunan asrama pada Khamis lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPT menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berkaitan kematian pelajar UM.
  • Menteri Zambry menekankan laporan dan siasatan diserahkan kepada polis untuk tindakan sewajarnya.
  • Mangsa, Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari asrama.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Kita serah kepada pihak berkuasa, pihak polis untuk menyediakan laporan itu. Jadi untuk peringkat ini, biarlah kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.

Dalam kejadian 17 Oktober lalu, Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama kediamannya dan polis kemudian mengesahkan punca kematian akibat kecederaan serius di kepala kerana jatuh dari tempat tinggi.

Ahmad Arif yang juga pelajar Sains Gunaan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam UM, dikejarkan ke Pusat Perubatan UM (PPUM) untuk rawatan dan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.