Pengamal media Melaka terima RM500

AYER KEROH, 5 Disember – Pengamal media di Melaka menyambut baik pengumuman sumbangan sekali beri (one-off) Kerajaan Negeri Melaka bernilai RM500.

Insentif khas itu diberikan buat julung kalinya sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Pengamal media, Amir Mamat, berkata inisiatif itu menunjukkan hubungan erat dan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan pengamal media di Melaka.

“Sebenarnya, pengamal media di Melaka bukan sahaja menjalankan tugas sebagai pemberita, tetapi juga merupakan rakan strategik terbaik antara kami dan Kerajaan Negeri Melaka.

“Sekali lagi, saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka khususnya Yang Amat Berhormat Ketua Menteri atas sumbangan sekali beri ini,” katanya.

Pengamal media, Kew Li Wen, turut menyatakan rasa syukur dan percaya langkah itu dapat membantu meringankan beban yang ditanggung petugas media.

“Saya rasa sangat gembira dan berbesar hati dengan pengumuman Ketua Menteri ini. Inisiatif ini membantu mengurangkan beban pengamal media dan saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin terhadap kami,” katanya.

Seorang lagi pengamal media, Malini Rangsamy, berpandangan bahawa sumbangan tersebut memberi dorongan tambahan kepada petugas media untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Saya amat gembira dengan pengumuman ini. Ia pastinya memberi motivasi kepada kami untuk terus bekerja dengan lebih kuat,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan insentif khas secara sekali beri kepada pengamal media Melaka dengan implikasi kewangan sebanyak RM75,000.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.