Rakan KKM kekal pakar perubatan dalam servis awam

KUALA LUMPUR, 3 Disember – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa inisiatif Rakan KKM bukan langkah penswastaan sektor kesihatan, sebaliknya merupakan model baharu untuk mengekalkan pakar perubatan dalam perkhidmatan awam, menyediakan imbuhan setimpal serta memperkukuh sistem kesihatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif itu dirangka untuk menangani isu penghijrahan pakar, pegawai perubatan dan jururawat ke sektor swasta atau luar negara yang semakin membimbangkan.

“Rakan KKM merupakan platform baharu untuk mengekalkan petugas kesihatan, termasuk pakar, pegawai perubatan dan jururawat. Ia memberi ruang kepada mereka menonjolkan keupayaan klinikal dengan imbuhan setimpal tanpa perlu berhijrah atau meninggalkan perkhidmatan.

“Perkhidmatan di bawah Rakan KKM hanya dijalankan mengikut temu janji, menggunakan slot khusus bagi prosedur elektif, dan tidak menjejaskan waktu rawatan awam,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai skop pelaksanaan inisiatif itu, termasuk hospital yang terlibat serta mekanisme audit dana.

Datuk Seri Dzulkefly memaklumkan Rakan KKM Sdn Bhd (RKSB), entiti milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), bertanggungjawab melaksanakan program tersebut, manakala KKM kekal sebagai badan kawal selia utama.

“Fasa pertama bermula di Hospital Cyberjaya dengan peruntukan awal RM25 juta, melibatkan perkhidmatan Ortopedik dan Perubatan Dalaman.

“Proses pelesenan di bawah Akta 586 dan pemuktamadan perjanjian operasi kini pada peringkat akhir.

“Hospital Cyberjaya akan melesenkan 20 katil di Aras 9, empat katil rawatan harian, satu bilik pembedahan serta dua klinik pakar bagi pelaksanaan awal.

“Tarikh permulaan operasi akan diumumkan selepas keseluruhan proses pelesenan selesai,” katanya.

KKM turut menubuhkan Akaun Amanah Rakan KKM di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 untuk mengurus semua terimaan dan caruman; dana itu akan disalurkan semula bagi menaik taraf kemudahan dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam.

Audit dalaman, tadbir urus akaun amanah serta pemantauan Jabatan Audit Negara akan memastikan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan kewangan.

“Anggaran pendapatan tahunan akan diperincikan setelah RKSB memuktamadkan struktur caj, kadar bayaran serta pengambilan doktor dan kakitangan sokongan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.