Rumah terbuka Malaysia Madani eratkan hubungan kerajaan negeri, Persekutuan

ALOR SETAR, 29 April – Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kedah diharap dapat mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata penganjuran rumah terbuka itu di enam negeri termasuk di Kedah tidak ada kaitan dengan politik sebaliknya dianjurkan untuk mendekati dan memahami permasalahan rakyat.

(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil / FOTO BERNAMA)

“Saya lihat Perdana Menteri juga banyak meluangkan masa…beliau tiba sejam awal ke lokasi untuk bertemu dengan semua yang hadir, pergi khemah ke khemah, meja ke meja untuk melihat sendiri dan itu adalah gaya Perdana Menteri.

“Harapan saya hubungan silaturrahim rakyat Kedah dapat dieratkan, akan bertambah baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani, di sini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau percaya rakyat akan memberikan peluang kepada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar dalam PRN nanti.

Ini setelah melihat prestasi positif sepanjang tempoh enam bulan menerajui kepimpinan di Putrajaya, antaranya masalah inflasi terkawal setakat tempoh itu.

“Inflasi telah menurun ke 3.4 peratus bulan lepas, ini adalah satu petanda awal yang positif, dan banyak dasar yang sedang dilaksanakan untuk memudahkan sama ada perniagaan ataupun mengurangkan apa yang disebut sebelum ini sebagai kerenah birokrasi,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.