
SEPANG, 29 Januari – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus memperkukuh kedudukan ke arah menuju status hab penerbangan hijau dunia menerusi pelancaran Ladang Solar Fotovoltaik dan Sistem Penstoran Tenaga (BESS) di KLIA Aeropolis bagi kegunaan khusus lapangan terbang tersebut.
- Projek ladang solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) bagi kegunaan khusus lapangan terbang memperkukuh peralihan tenaga negara.
- BESS membolehkan lebihan tenaga disimpan dan digunakan semasa permintaan puncak, meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos.
- Inisiatif ini memperkukuh daya saing KLIA dalam akreditasi karbon antarabangsa dan menyokong matlamat hab penerbangan hijau.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek itu dijangka mengurangkan pelepasan karbon KLIA sehingga sekitar 30 peratus apabila beroperasi sepenuhnya pada 2027.
“Ini bukan sekadar permulaan pembinaan sebuah projek tenaga boleh baharu, sebaliknya membawa mesej yang lebih besar bahawa peralihan tenaga negara mesti bergerak seiring dengan keperluan kebolehpercayaan bekalan elektrik, kecekapan kos serta daya saing ekonomi Malaysia,” katanya semasa berucap menyempurnakan majlis perasmian Ladang Solar dan BESS, di sini hari ini.
Menurut Datuk Seri Fadillah BESS boleh menjadi pembawa perubahan kerana ia membolehkan lebihan tenaga solar disimpan dan digunakan semasa permintaan puncak, menjadikan operasi KLIA lebih cekap dan kos lebih rendah.
Projek itu juga mempercepat peralihan tenaga pintar negara tanpa menjejaskan keselamatan bekalan. Apabila siap sepenuhnya, projek berkenaan dijangka menjana 46 gigawatt-jam (GWj) tenaga elektrik hijau setahun untuk kegunaan KLIA.
Ia mampu mengurangkan pelepasan 35,000 tan karbon setahun, bersamaan lebih 8,000 kenderaan daripada jalan raya. Inisiatif berkenaan dilihat turut memperkukuh daya saing KLIA dalam Akreditasi Karbon Lapangan Terbang (ACA) antarabangsa.