KUALA LUMPUR, 24 November – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang dijangka dibentangkan pada suku pertama 2026, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh.
- Pindaan RUU E-Dagang dijangka dibentang suku pertama 2026, merangkumi definisi moden e-dagang dan akauntabiliti platform.
- Memperkuatkan hak pengguna dan mewujudkan mekanisme penyelarasan antara agensi untuk melindungi kepentingan pengguna.
- Termasuk peraturan bagi perdagangan berasaskan AI, kawal selia platform luar negara dan pendekatan baru untuk urus niaga rentas sempadan.
Beliau berkata RUU berkenaan merangkumi pelbagai aspek penting termasuk definisi moden e-dagang, akauntabiliti platform, pengukuhan hak pengguna, mekanisme penyelarasan antara agensi, peraturan berkaitan perdagangan berasaskan AI, serta pendekatan baharu terhadap urus niaga rentas sempadan.
Datuk Dr. Fuziah Salleh/BERNAMA
“Reformasi ini meliputi definisi moden e-dagang, akauntabiliti platform, hak pengguna yang diperkukuh, mekanisme antara agensi yang lebih tersusun, peraturan berkaitan perdagangan berasaskan AI serta pendekatan baharu terhadap urus niaga rentas sempadan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Persidangan E-Dagang ASEAN 2025, di sini hari ini.
Tambah beliau, pindaan RUU itu digubal untuk menyokong inovasi dalam sektor digital sambil memastikan keadilan dan kepercayaan pengguna terus terpelihara.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan RUU tersebut menumpukan kepada keperluan mekanisme kawal selia bagi memastikan platform e-dagang luar negara mematuhi undang-undang Malaysia.
RUU berkenaan juga dirangka untuk meningkatkan perlindungan pengguna serta menyokong pertumbuhan berterusan sektor e-dagang tempatan.
