Angka korban tanah runtuh di Jawa Tengah meningkat kepada 30

JAKARTA, 21 November – Angka korban tanah runtuh di dua wilayah di Jawa Tengah meningkat kepada 30 orang ketika operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, menurut Agensi Mitigasi Bencana Indonesia pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah korban meninggal meningkat kepada 30 di dua wilayah Jawa Tengah susulan tanah runtuh akibat hujan lebat.
  • Operasi mencari dan menyelamat diteruskan; lebih 700 anggota termasuk polis dan tentera serta jentera penggali dikerah.
  • Puluhan rumah rosak, lebih 1,300 penduduk dipindahkan dan puluhan masih hilang ketika musim hujan berlanjutan.

Seramai 21 individu masih hilang selepas tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat melanda bandar Cilacap minggu lalu dan kawasan Banjarnegara pada hujung minggu, kata agensi itu.

Di Banjarnegara, kawasan paling terjejas, pasukan penyelamat menemukan tujuh lagi mayat pada Khamis, menjadikan jumlah korban di daerah itu meningkat kepada 10 orang, dengan 18 lagi masih hilang, kata jurucakap agensi, Abdul Muhari dalam kenyataan malam tadi.

Puluhan rumah rosak, tujuh cedera dan lebih 900 penduduk dipindahkan berikutan kejadian tersebut, katanya.

Lebih 700 anggota penyelamat termasuk polis dan tentera terus mencari mangsa yang hilang dengan bantuan jentera penggali bagi mempercepatkan operasi.

Di Cilacap, pasukan penyelamat menemukan empat lagi mayat minggu ini, menjadikan jumlah kematian kepada 20 orang, manakala tiga lagi masih belum dijumpai.

Pihak berkuasa telah melanjutkan operasi pencarian di kawasan itu sehingga minggu depan, dan hampir 400 penduduk telah dipindahkan.

Musim hujan di Indonesia bermula September lalu dan dijangka berlanjutan hingga April, sekali gus meningkatkan risiko banjir serta hujan lebat di banyak kawasan.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.