Banjir kilat di Pulau Siau ragut sekurang-kurangnya 16 nyawa

JAKARTA, 6 Januari – Hujan lebat berterusan melanda Pulau Siau di Indonesia, sehingga mencetuskan banjir kilat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang, manakala tiga lagi dilaporkan hilang.

Agensi Pengurusan Bencana Negara memaklumkan sungai yang melimpah telah membanjiri empat pekan di pulau kecil yang terletak di utara Sulawesi itu pada Isnin.

Jurucakap agensi, Abdul Muhari berkata setakat ini 16 mangsa disahkan meninggal dunia, manakala pasukan penyelamat sedang giat mengesan tiga lagi mangsa yang masih hilang.

Beliau turut memaklumkan seramai 22 orang cedera, sementara hampir 700 penduduk terpaksa dipindahkan.

Menurutnya, banjir kilat itu berpunca daripada hujan berintensiti tinggi sejak awal pagi yang menyebabkan paras air sungai meningkat secara mendadak.

Imej yang dikongsi pasukan mencari dan menyelamat menunjukkan bongkah batu besar dan pokok tumbang yang dihanyutkan arus deras.

Banjir turut memutuskan akses beberapa laluan jalan raya serta merosakkan puluhan rumah, bangunan awam dan infrastruktur.

Indonesia sering berdepan kejadian banjir ketika musim hujan yang lazimnya berlaku antara Oktober hingga Mac setiap tahun.

Ribut tropika dan hujan monsun lebat sejak akhir tahun lalu turut mencetuskan banjir dan tanah runtuh di beberapa negara Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 1,178 orang terkorban di Sumatera, manakala lebih 240,000 penduduk terpaksa dipindahkan.

Bencana banjir besar di Sumatera pada November lalu disifatkan antara yang terburuk sejak tsunami besar melanda wilayah itu pada tahun 2004.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.