Bekas menteri Kanada dilantik sebagai penasihat ekonomi Ukraine

MONTREAL, 6 Januari– Bekas menteri kewangan dan hal ehwal luar Kanada, Chrystia Freeland pada Isnin mengumumkan beliau akan meninggalkan Parlimen di Ottawa untuk berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kepada Ukraine.

Freeland yang berketurunan Ukraine dilantik oleh Presiden Volodymyr Zelensky, selepas sebelum ini berperanan sebagai wakil khas perdana menteri Kanada bagi usaha pembinaan semula negara itu.

“Ukraine berada di barisan hadapan perjuangan global demi demokrasi, dan saya mengalu-alukan peluang untuk menyumbang secara sukarela sebagai penasihat ekonomi kepada Presiden Zelensky,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Freeland, 57, bekas wartawan yang fasih beberapa bahasa termasuk Ukraine dan Inggeris, pernah mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan menteri kewangan Kanada serta berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri.

Zelensky memuji Freeland sebagai tokoh yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman luas dalam menarik pelaburan serta melaksanakan transformasi ekonomi, ketika Ukraine berusaha memperkukuh daya tahan dalaman di tengah konflik berpanjangan.

Tahun lalu, Freeland bertanding bagi menggantikan Justin Trudeau sebagai pemimpin Parti Liberal dan perdana menteri, namun tewas sebelum menyertai kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Mark Carney. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.