Bot pelancong karam di Indonesia akhirnya ditemukan bersama mayat mangsa

MAUMERE, 6 Januari – Pasukan penyelamat Indonesia berjaya mengesan bot pelancong yang karam hampir dua minggu lalu di perairan timur negara itu, selain menjumpai mayat seorang lagi mangsa warga Sepanyol.

Ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Fathur Rahman berkata bangkai bot berkenaan dikesan pada Selasa kira-kira 14 kilometer dari lokasi nahas di Selat Pulau Padar, berhampiran Labuan Bajo.

Beliau menjelaskan mayat mangsa dikenal pasti selepas seorang nelayan melaporkan penemuan jasad bersama badan kapal yang tenggelam.

Mayat berkenaan telah dihantar ke hospital bagi tujuan pengecaman.

Dalam kejadian pada 26 Disember lalu, tujuh penumpang berjaya diselamatkan, manakala empat warga Sepanyol dilaporkan hilang.

Setakat ini, mayat bapa berusia 44 tahun, Fernando Martin Carreras, yang juga jurulatih bola sepak, serta seorang anaknya telah dikenal pasti, manakala isteri dan seorang lagi anak mereka terselamat.

Operasi mengesan seorang lagi kanak-kanak daripada keluarga sama akan diteruskan pada Rabu.

Indonesia yang mempunyai kira-kira 17,000 pulau sering berdepan insiden maritim akibat faktor keselamatan dan keadaan laut bergelora.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.