
BEIJING, 6 Januari – China memperketat kawalan eksport teknologi dan barangan awam yang juga boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan ke Jepun, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan China, langkah itu melibatkan barangan yang berpotensi meningkatkan keupayaan ketenteraan Jepun.
Eksport barangan berkenaan adalah dilarang sekiranya melibatkan pengguna ketenteraan Jepun, tujuan ketenteraan, atau mana-mana pihak yang boleh membantu memperkukuh keupayaan ketenteraan negara tersebut.
China sebelum ini mengklasifikasikan produk dalam bidang sensitif seperti bioteknologi, aeroangkasa dan telekomunikasi sebagai barangan awam yang juga boleh digunakan untuk kegunaan ketenteraan.
Langkah terbaharu itu diumumkan ketika hubungan China dan Jepun tegang susulan kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi pada November lalu, yang mencadangkan kemungkinan campur tangan ketenteraan Tokyo sekiranya berlaku serangan terhadap Taiwan.
China menegaskan Taiwan merupakan sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk mengambil alih pulau tersebut.
Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Kementerian Perdagangan China mengecam kenyataan Jepun berkaitan Taiwan, yang disifatkan memberi bayangan campur tangan ketenteraan.
Jurucakap itu turut menegaskan langkah memperketat kawalan eksport berkenaan bertujuan melindungi keselamatan dan kepentingan Beijing.-AFP