Colombia terus kerjasama dengan AS perangi pengedaran dadah

CUCUTA, 6 Januari – Colombia akan terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha membanteras pengedaran dadah dengan memanfaatkan risikan dan teknologi Washington.

Menerusi rakaman video Menteri Dalam Negeri Colombia, Armando Benedetti dan Menteri Kehakiman, Andres Idarraga kedua-duanya menyatakan perkara sama untuk memerangi dadah.

“Kami akan terus menyelaras dan bekerjasama dalam memerangi pengedaran dadah,” menurut rakaman video yang diedarkan kepada media oleh kerajaan.

Pada hujung minggu lalu, tentera AS memasuki Venezuela dan menahan Presiden Nicolas Maduro, yang pada Isnin mengaku tidak bersalah di mahkamah New York atas pertuduhan narkokeganasan.

Menurut Idarraga operasi antidadah Colombia akan menumpukan kepada pemusnahan makmal dadah, organisasi jenayah serta kem-kem terlibat.

“Kami akan terus menegaskan usaha memerangi ancaman ini, khususnya di sepanjang sempadan Colombia–Venezuela,” kata Idarraga.

Colombia sebelum ini mengkritik kenyataan Trump pada Ahad dan menyifatkan sebarang kemungkinan pencerobohan AS sebagai ‘campur tangan yang tidak wajar’.

AS kini meningkatkan tekanan terhadap Colombia supaya memperhebat usaha membanteras pengedaran dadah susulan peningkatan penanaman daun koka, bahan mentah untuk penghasilan kokain, dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kerajaan Petro menegaskan pihaknya telah merampas jumlah kokain pada tahap tertinggi, termasuk hampir 1,000 tan metrik sepanjang tahun 2025.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.