BEIRUT, 5 Januari – Dua individu terbunuh dalam satu serangan di selatan Lubnan pada Ahad, menurut pihak berkuasa Lubnan.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, dua mangsa maut dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan berhampiran bandar Jmaijmeh, kira-kira 10 kilometer dari sempadan Israel.
Manakala, Israel dalam satu kenyataan, berkata serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap pelanggaran berterusan oleh Hizbullah terhadap perjanjian gencatan senjata serta mendakwa seorang anggota kumpulan itu menjadi sasaran di kawasan berkenaan.
Di bawah tekanan hebat Amerika Syarikat serta kebimbangan terhadap kemungkinan peluasan serangan Israel, Kerajaan Lubnan telah menyatakan komitmen untuk melucutkan senjata Hizbullah.
Menurut pengiraan AFP berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 350 orang terbunuh akibat serangan Israel di Lubnan sejak gencatan senjata dilaksanakan.-AFP