
NEW DELHI, 5 Januari – Satu gempa bumi berukuran 5.4 magnitud melanda negeri Assam di utara India pada awal pagi Isnin, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gempa sederhana itu berpusat kira-kira tiga kilometer dari kampung Dhing, berhampiran sempadan India-Bhutan dan berlaku sekitar pukul 4.17 pagi waktu tempatan.
USGS melaporkan gegaran kuat dirasai di kawasan terjejas, namun menjangkakan jumlah penduduk yang terkesan adalah terhad.
Setakat ini, tiada laporan segera mengenai kematian atau kerosakan besar dilaporkan pihak berkuasa tempatan.
Rantau Himalaya sememangnya kerap mengalami gempa bumi setiap tahun dan merupakan antara kawasan paling aktif secara seismik di dunia.
Pada tahun 1950, satu gempa bumi kuat melanda Assam dan Tibet, mengorbankan kira-kira 4,800 orang.
Sementara itu, Gempa bumi Assam pada 1897 direkodkan sebagai antara yang paling kuat pernah melanda India, mengakibatkan ratusan kematian di kawasan pedalaman. -AFP