MANILA, 7 Januari – Gempa bumi berukuran 6.4 pada skala ritcher menggegarkan pesisir pantai selatan Filipina, hari ini.
Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan atau laporan segera mengenai kerosakan setakat ini.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), laporan awal menyebut gempa tersebut berukuran 6.7 pada skala ritcher yang berlaku pada kedalaman 58.5 kilometer, kira-kira 27 kilometer ke timur pekan Santiago di Pulau Mindanao.
Seorang penyelamat di wilayah timur Davao Oriental, Nash Paragas pula memberitahu AFP bahawa setakat ini tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
“Gegaran memang dirasai. Saya melihat beberapa kereta bergerak, tetapi saya rasa ia hanya berlaku dalam tempoh singkat, kira-kira lima saat,” katanya.
Mindanao Timur pernah digegarkan oleh dua gempa bumi berukuran 7.4 dan 6.7 pada skala ritcher yang berlaku pada Oktober lalu dan mengorbankan sekurang-kurangnya lapan nyawa.
Kejadian itu susulan gempa bumi berukuran 6.9 pada skala ritcher yang dilaporkan berlaku beberapa hari sebelumnya yang mengorbankan 76 orang serta memusnahkan kira-kira 72,000 buah rumah di wilayah Cebu di tengah Filipina, menurut angka rasmi kerajaan.
Gempa bumi merupakan bencana alam yang berlaku hampir setiap hari di Filipina, yang terletak dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktiviti seismik tinggi dari Jepun merentasi Asia Tenggara dan seluruh Lembangan Pasifik.