
PERANCIS, 5 Januari -Seorang guru tarian Perancis dibicarakan pada Isnin atas pertuduhan memberi dadah dan melakukan penderaan seksual terhadap beberapa wanita.
Tertuduh Cyril Zattara, 47, yang mengaku sebagai “ahli hipnoterapi” turut merakam perbuatan itu tanpa pengetahuan mangsa.
Zattara hadir ke mahkamah secara tertutup di bandar Aix-en-Provence di selatan Perancis, berdepan pertuduhan merogol 14 wanita dalam tempoh 10 tahun, selain didakwa merakam kira-kira 20 wanita tanpa kebenaran mereka.
Zattara, yang ditahan sejak lima tahun lalu, telah mengaku terhadap 10 pertuduhan rogol.
Kes itu bermula pada 2019 apabila seorang wanita berusia 24 tahun membuat laporan polis selepas menjalani sesi hipnosis dengan tertuduh.
Mangsa mendakwa terjaga selepas meminum sebahagian segelas wain dan mengingati kejadian muntah serta dirogol oleh tertuduh.
DNA tertuduh ditemui di bawah kuku dan pada pakaian dalam mangsa.
Menurut siasatan, tertuduh didakwa memasukkan pil tidur ke dalam minuman mangsa sebelum melakukan serangan seksual, dengan sasaran kebanyakannya wanita yang dikenalinya atau mempunyai hubungan rapat dengannya.
Hakim Roger Arata mengarahkan perbicaraan dijalankan secara tertutup atas permintaan peguam salah seorang pihak sivil, meskipun terdapat mangsa lain yang menggesa perbicaraan dibuka kepada umum. – AFP