Harga minyak mentah global menurun, pasca operasi ketenteraan AS

TOKYO, 5 Januari– Harga minyak mentah global menurun pada Isnin (5 Januari) susulan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Ini sekali gus mencetuskan jangkaan peningkatan bekalan minyak negara itu ke pasaran antarabangsa.

Penganalisis menjangkakan kemasukan semula minyak Venezuela akan menambah tekanan lebihan bekalan sedia ada dan akan memberi kesan negatif kepada harga minyak yang telah mencatat penurunan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Dalam urus niaga pagi di Asia, minyak mentah Brent susut 0.21 peratus kepada AS$60.62 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) turun 0.35 peratus kepada AS$57.12 setong.

AS dilaporkan melancarkan serangan ke atas Caracas pada Ahad (4 Januari), menyasarkan kemudahan ketenteraan sebelum membawa keluar Maduro dan isterinya untuk berdepan pertuduhan pengedaran dadah persekutuan di New York.

Presiden AS, Donald Trump berkata Washington akan mengambil alih pentadbiran Venezuela dan menghantar syarikat-syarikat Amerika bagi memulihkan infrastruktur minyak negara itu yang uzur.

Venezuela memiliki rizab minyak mentah terbukti terbesar dunia, namun pengeluaran semasa negara itu hanya sekitar satu juta tong sehari, jauh lebih rendah berbanding kira-kira 3.5 juta tong sehari pada 1999 akibat kekurangan pelaburan dan sekatan ekonomi.

Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran peningkatan pengeluaran tidak akan berlaku dalam tempoh singkat berikutan keadaan infrastruktur yang rapuh, selain pasaran minyak global ketika ini masih dibebani lebihan bekalan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.