NEW YORK, 14 Disember – Sebuah pesawat Boeing 777 milik United Airlines yang dalam penerbangan ke Tokyo terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles, Washington selepas salah satu enjin mengalami kegagalan ketika berlepas, sekali gus mencetuskan kebakaran kecil di kawasan berhampiran landasan.
Menurut pihak berkuasa pesawat berkenaan terpaksa melakukan pendaratan cemas dan tiada kecederaan dilaporkan melibatkan kesemua 275 penumpang dan 15 anak kapal pesawat berkenaan.
United Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan, penerbangan itu kembali semula ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles dan mendarat dengan selamat bagi menangani masalah kerosakan enjin.
Menurut sumber kegagalan enjin berlaku ketika pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas menuju ke Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, kira-kira pukul 12.20 tengah hari waktu tempatan.
Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Sean Duffy, menerusi platform X memaklumkan, sebahagian penutup enjin telah tertanggal dan terbakar, sekali gus mencetuskan kebakaran sebaik mendarat.
Jurucakap lapangan terbang berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan dan pesawat berkenaan kembali ke Dulles dengan selamat kira-kira pukul 1.30 petang sebelum pasukan bomba lapangan terbang melakukan pemeriksaan.
Menurut pegawai berkenaan, landasan terlibat terpaksa ditutup buat sementara waktu, namun operasi penerbangan lain tidak terjejas kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles mempunyai beberapa landasan alternatif.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) memaklumkan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Menurut laman khusus penerbangan AirLive, pesawat itu membuang bahan api di ruang udara bandar Fredericksburg, Virginia, sebagai langkah keselamatan kritikal untuk mengurangkan berat pesawat ke tahap selamat sebelum pendaratan kecemasan dilakukan.
Berdasarkan maklumat pendaftaran pesawat yang dikongsi laman tersebut, pesawat Boeing 777 terbabit diserahkan kepada Continental Airlines pada November 1998 sebelum syarikat itu diambil alih United Airlines. Pesawat berkenaan dilengkapi dua enjin General Electric, yang kini dikenali sebagai GE Aerospace.
Penerbangan United 803 kemudiannya berlepas semula menggunakan pesawat lain pada hari sama (Sabtu), menuju ke Lapangan Terbang Haneda kira-kira enam setengah jam selepas waktu berlepas asal.- AFP