
SEOUL, 5 Januari- Korea Utara menguji peluru berpandu hipersonik berteknologi tinggi dalam satu langkah yang didakwa bagi mempersiapkan pasukan nuklearnya untuk menghadapi peperangan.
Ujian itu diselia sendiri oleh pemimpin negara berkenaan, Kim Jong Un, menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Isnin.
Peluru berpandu hipersonik bergerak pada kelajuan melebihi lima kali ganda kelajuan bunyi dan mampu mengubah arah ketika penerbangan, menjadikannya lebih sukar dikesan serta dipintas.
Pyongyang menyatakan ujian yang dijalankan pada Ahad itu didorong oleh “krisis geopolitik terkini”, merujuk perkembangan antarabangsa melibatkan sekutu politiknya, Venezuela
Seoul dan Tokyo memaklumkan mereka mengesan pelancaran dua peluru berpandu balistik dari kawasan berhampiran Pyongyang pada hari sama.
Ujian berkenaan merupakan pertama dilakukan Korea Utara tahun ini dan berlaku beberapa jam sebelum Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, berlepas ke Beijing bagi menghadiri sidang kemuncak. -AFP