
DUBAI, 6 Januari – Ketua puak pemisah Yaman dilaporkan berangkat ke Riyadh pada Selasa bagi menghadiri rundingan anjuran Arab Saudi, susulan pertempuran yang berlarutan antara kumpulannya dan tentera pro-Saudi di selatan negara itu.
Rundingan yang dianjurkan Riyadh itu dilihat sebagai usaha awal meredakan ketegangan selepas pertembungan ketenteraan sejak Disember lalu mendedahkan perbezaan pengaruh antara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Yaman.
Menurut seorang pegawai Majlis Peralihan Selatan (STC) yang dipetik AFP, rombongan berkenaan diketuai Presidennya, Aidaros Al-Zubaidi, atas jemputan rasmi Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman.
Pegawai itu turut memaklumkan bahawa Al-Zubaidi dijangka membincangkan dialog politik melibatkan pihak selatan yang kini ditaja Arab Saudi.
Sebelum ini, kerajaan Yaman dilaporkan meminta Arab Saudi menganjurkan rundingan antara kumpulan yang bertelagah, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk menyertai perbincangan tersebut.
Pada Disember lalu, kumpulan pemisah yang disokong UAE merampas sebahagian wilayah termasuk kawasan di Hadramawt yang bersempadan dengan Arab Saudi, sebelum tentera pro-Saudi melancarkan serangan balas dengan sokongan gabungan udara minggu lalu.
Arab Saudi dan UAE, yang sebelum ini bekerjasama dalam operasi menentang kumpulan Huthi, kini dilihat menyokong blok politik yang berbeza dalam kerajaan Yaman yang berpusat di selatan negara itu.-AFP