Majlis Keselamatan PBB bimbang terhadap serangan AS, penahanan Presiden Venezuela

NEW YORK, 6 Januari – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin bagi membincangkan serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke atas Venezuela.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyuarakan kebimbangan terhadap serangan AS ke atas Venezuela serta penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Kenyataan tersebut dibacakan bagi pihak beliau oleh Setiausaha Rendah Agung Hal Ehwal Politik, Rosemary DiCarlo, kepada Majlis Keselamatan PBB.

Guterres berkata, beliau bimbang terhadap kemungkinan peningkatan ketidakstabilan di negara itu selain berpotensi memberi kesan terhadap rantau berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan Venezuela menganggap tindakan AS sebagai satu pencerobohan ketenteraan yang dilaksanakan di kawasan awam, selain menyifatkan ia sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap Piagam PBB yang mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa serta serantau.

Guterres turut menggesa semua pihak berkepentingan di Venezuela supaya terlibat dalam dialog inklusif dan demokratik, bagi membolehkan seluruh lapisan masyarakat menentukan masa depan negara itu.

Beliau juga menyeru negara-negara di rantau Venezuela serta masyarakat antarabangsa agar bertindak dalam semangat solidariti dan mematuhi prinsip, undang-undang serta peraturan yang menggalakkan kewujudan bersama secara aman.

Sementara itu, Maduro membuat penampilan pertama di mahkamah pada Isnin pagi di New York selepas ditahan oleh pasukan AS di Venezuela.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.