SINGAPURA, 30 Disember – Syarikat induk Facebook, Meta, bersetuju mengambil alih Manus, sebuah ejen kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh syarikat diasaskan di China tetapi kini berpangkalan di Singapura.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan bersama kedua-dua pihak.
Ketua Pegawai Eksekutif Manus, Xiao Hong, menyifatkan kerjasama dengan Meta sebagai langkah penting untuk membangunkan teknologi AI pada skala yang jauh lebih besar.
Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran perjanjian tersebut berisiko berdepan penelitian pihak berkuasa kawal selia, ketika persaingan teknologi antara Amerika Syarikat dan China semakin sengit.
Ejen AI seperti Manus dilihat melangkaui keupayaan chatbot konvensional termasuk ChatGPT, kerana mampu melaksanakan tugasan kompleks secara autonomi bagi pihak pengguna.
Manus, yang dibangunkan oleh syarikat pemula Butterfly Effect, mampu menapis dan membuat rumusan, selain membina laman web analisis saham secara automatik.
Sementara itu Meta dalam kenyataan pada Isnin berkata pengambilalihan berkenaan, yang tidak didedahkan nilai kewangannya, akan membolehkan teknologi berkenaan dimanfaatkan oleh berbilion pengguna.
Pada masa sama membuka peluang baharu kepada perniagaan merentasi platform Meta.
Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, kini giat memperkukuh pelaburan dalam AI, termasuk melalui pengambilalihan syarikat, pengambilan jurutera dan pembinaan pusat data berskala besar.
Menurut penganalisis Bloomberg Intelligence, perjanjian itu berkemungkinan bertujuan memperluas keupayaan ejen AI Meta dan dianggarkan bernilai melebihi AS$2 bilion, namun boleh menarik perhatian pengawal selia berikutan latar belakang penubuhan Manus oleh syarikat yang diasaskan di China.- AFP