Neymar lanjut kontrak bersama Santos hingga penghujung 2026

SANTOS, 7 Januari – Neymar bersetuju melanjutkan kontraknya bersama Santos sehingga penghujung tahun 2026, demikian menurut kelab Brazil itu pada Selasa (6 Januari).

Penyerang berusia 33 tahun itu masih menyimpan harapan untuk dipanggil menyertai skuad Piala Dunia walaupun bergelut dengan kecederaan kebelakangan ini.

Neymar kembali menyertai kelab Santos, pada Januari 2025 dan memainkan peranan penting dalam memastikan kelab tersebut kekal beraksi dalam liga utama Brazil, termasuk menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan terakhir.

Bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu, yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol, tidak pernah beraksi bersama juara lima kali Piala Dunia itu sejak 2023.

Pengendali pasukan, Carlo Ancelotti berkata, Neymar perlu berada pada tahap kecergasan sepenuhnya untuk dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan.

Brazil dijadualkan berdepan Scotland, Maghribi dan Haiti dalam Kumpulan C Piala Dunia yang akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.