Pameran Udara Dubai 2025 pamer mobiliti udara masa depan

DUBAI, 21 November – Masa depan mobiliti udara bandar dan pengangkutan udara canggih menjadi tumpuan utama di Pameran Udara Dubai yang sedang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE), apabila pesawat berlepas dan mendarat menegak (VTOL) terbaharu menawarkan pratinjau mengagumkan tentang perubahan landskap ruang udara di bandar pada masa hadapan.

Bertemakan ‘The Future is Here’, pameran lima hari yang bermula Isnin di Dubai World Central itu menghimpunkan lebih 1,500 pempamer termasuk 440 peserta baharu.

Lebih 200 pesawat dipamerkan, termasuk pesawat komersial, ketenteraan, jet peribadi, dron dan teknologi penerbangan generasi baharu.

Antara tarikan utama ialah kawasan pameran pesawat VTOL, yang menurut pempamer dijangka berperanan sebagai teksi terbang dalam masa terdekat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas bandar dengan memanfaatkan ruang udara sepenuhnya.

Joby Aviation, syarikat dari Amerika Syarikat, membuka hari pertama acara dengan demonstrasi penerbangan VTOL berawak sekali gus memukau pengunjung dengan prosedur berlepas dan mendarat secara menegak.

Ketua pemasaran dan komunikasi syarikat itu, Oliver Walker-Jones menegaskan aspek keselamatan menjadi keutamaan dengan ujian menyeluruh sedang dijalankan.

“Kami telah membawa pesawat ini ke Dubai selama kira-kira enam bulan dan menjalankan ujian penerbangan di kawasan gurun. Ia mempunyai enam kipas berasingan yang setiap satunya dikuasakan secara individu, selain empat pek kuasa berasingan.

“Ini memberi banyak sistem gantian. Kami telah melakukan 50,000 batu ujian penerbangan dan ia akan terus dilakukan. Reka bentuk pesawat ini sememangnya menitikberatkan keselamatan,” katanya.

Pada masa sama, beberapa pempamer turut mempamerkan kemajuan baharu dalam pembangunan sistem kuasa hibrid yang direka untuk meningkatkan jarak dan ketahanan pesawat.

Pembuat automotif Honda turut membangunkan prototaip VTOL elektrik pertamanya dengan tumpuan utama kepada peningkatan jarak serta prestasi pesawat konsep itu.

“Kami mempunyai sistem kuasa elektrik hibrid dan jarak maksimum yang boleh dicapai kini adalah 400 kilometer,” kata wakil penyelidikan dan pembangunan Honda, Akihiro Mizutani.

Pesawat eVTOL keluaran China turut menarik perhatian pengunjung.

Seorang wakil dari Aerospace Times Feipeng, syarikat berpangkalan di wilayah Jiangsu, berkata pesawat mereka bukan sahaja untuk pengangkutan tetapi juga aplikasi kecemasan.

“Ia direka untuk logistik awam serta operasi mencari dan menyelamat. Contohnya, jika mahu memeriksa tumpahan minyak di Teluk Arab atau Laut Merah, pesawat ini boleh dihantar segera.

“Berlepas dan mendarat sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik, manakala enjinnya menggunakan petrol automotif biasa yang murah dan mudah diperoleh. Kami yakin dapat melakukan penerbangan pertama di rantau Asia Barat dalam masa terdekat,” kata wakil syarikat, Cao Yongmin.

Edisi ke-19 Pameran Udara Dubai itu menarik kira-kira 148,000 pelawat perdagangan dan dijangka menjadi penganjuran terbesar dalam sejarah acara dwitahunan tersebut.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.