PBB: Operasi tentera AS di Venezuela langgar prinsip undang-undang antarabangsa

GENEVA, 6 Januari – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Venezuela yang disifatkan menjejaskan prinsip asas undang-undang antarabangsa.

Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani berkata, mana-mana negara tidak boleh mengancam atau menggunakan kekerasan terhadap kedaulatan wilayah dan kemerdekaan politik sesebuah negara.

Beliau berkata demikian susulan tindakan komando AS yang dilapor menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, pada awal Sabtu lalu dalam operasi yang disokong serangan udara dan penempatan aset ketenteraan laut.

Shamdasani turut menolak justifikasi Washington bahawa operasi itu dilakukan atas alasan pelanggaran hak asasi manusia oleh kerajaan Venezuela.

Menurut beliau, usaha menuntut pertanggungjawaban terhadap pelanggaran hak asasi manusia tidak boleh dicapai melalui campur tangan ketenteraan unilateral yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB sebelum ini melaporkan kemerosotan berterusan situasi hak asasi manusia di Venezuela sejak sedekad lalu.

PBB turut menyuarakan kebimbangan bahawa campur tangan ketenteraan AS boleh memburukkan lagi keadaan dan meningkatkan ketidakstabilan di negara berkenaan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.