Pemeriksaan keselamatan gagal lima tahun sebelum tragedi bar Switzerland

CRANS-MONTANA, 6 Januari – Pihak berkuasa tempatan di Switzerland mengakui pemeriksaan keselamatan kebakaran tidak dijalankan selama lima tahun di sebuah bar yang terbakar pada malam Tahun Baharu, hingga mengorbankan 40 mangsa.

Datuk Bandar Crans-Montana, Nicolas Feraud berkata pemeriksaan berkala tidak dilakukan antara tahun 2020 hingga 2025, dan pihaknya amat kesal dengan perkara itu.

Kebakaran di Bar Le Constellation dipercayai bermula apabila bunga api kecil yang dipasang pada botol champagne mencetuskan api pada bahan penebat bunyi di siling ruang bawah tanah.

Majlis Perbandaran Crans-Montana turut memaklumkan langkah baharu akan diambil termasuk melantik agensi luar bagi memeriksa semua premis awam serta mengharamkan penggunaan bunga api di dalam bangunan.

Polis wilayah Wallis berkata seramai 116 mangsa cedera telah dikenal pasti, dengan 83 masih dirawat di hospital, manakala purata usia mangsa yang terkorban ialah 19 tahun.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.