
NEW DELHI, 6 Januari -Penduduk di dua kampung di negeri Andhra Pradesh, selatan India, dipindahkan pada Isnin selepas kebocoran gas mencetuskan kebakaran besar di sebuah telaga milik Oil and Natural Gas Corp (ONGC), menurut pihak berkuasa.
Tiada laporan segera mengenai korban, kata pihak berkuasa, ketika pasukan kecemasan berusaha mengawal kawasan kejadian di daerah Mori.
Dalam satu kenyataan, ONGC memaklumkan kawasan berkenaan telah dipagar, operasi penyejukan dimulakan, dan syarikat itu telah menggerakkan Pasukan Pengurusan Krisis dan Pasukan Pengurusan Krisis Serantau.
ONGC berkata kerja-kerja persediaan sedang dijalankan bagi memudahkan kawalan telaga dan, jika perlu, penutupan telaga.
Syarikat tenaga India itu turut memaklumkan bahawa penyelarasan telah dimulakan dengan pakar kawalan telaga antarabangsa, termasuk pengaturan penggerakan bagi menyokong operasi kawalan telaga lanjutan dan pemotongan selongsong, tertakluk kepada penilaian tapak.
ONGC berkata telaga Mori-5 terletak di kawasan terpencil tanpa penempatan manusia dalam lingkungan radius 500 hingga 600 meter.
Kebocoran berlaku ketika kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan menggunakan pelantar workover, yang menyebabkan berlakunya letupan keluar, menurut laporan media tempatan.
Kira-kira 10 jentera bomba dihantar ke lokasi kejadian dan penduduk kampung berdekatan Irusumanda serta Lakkavaram dipindahkan ke tempat yang lebih selamat, menurut laporan berkenaan. – BERNAMA