Pengarah filem, Rob Reiner dan isteri ditemukan maut di Los Angeles

LOS ANGELES, 15 Disember – Pengarah filem terkenal, Rob Reiner dan isterinya ditemukan meninggal dunia di kediaman mewah mereka di selatan California, lapor media Amerika Syarikat pada Ahad.

Dua individu ditemui maut di kediaman pengarah filem When Harry Met Sally dan The Princess Bride itu, menurut penyiar tempatan NBCLA dan beberapa media lain.

Media NBC kemudian memetik sumber yang rapat dengan keluarga, menyatakan pasangan itu dipercayai ditemui meninggal dunia akibat luka tikaman.

Penyiar CNN melaporkan bahawa seorang jurucakap keluarga telah mengesahkan bahawa Reiner dan isterinya telah meninggal dunia.

Bagaimanapun, polis Los Angeles tidak mengesahkan identiti mangsa, namun memaklumkan bahawa detektif sedang menyiasat kes kematian tersebut.

“Tiada sesiapa ditahan. Tiada sesiapa sedang disoal siasat sebagai suspek,” kata Timbalan Ketua Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), Alan Hamilton.

“Saya tidak akan mengesahkan sama ada seseorang sedang ditemu bual pada masa ini atau tidak. Kami akan cuba bercakap dengan setiap ahli keluarga yang boleh bagi mendapatkan fakta siasatan ini,” tambahnya.

Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass, turut berkata siasatan masih berjalan.

“Saya sangat berdukacita atas kehilangan tragis Rob dan isterinya, Michele. Saya mengenali Rob dan amat menghormatinya,” katanya.

“Beliau seorang pelakon, pengarah, penerbit, penulis dan aktivis politik yang disegani, dan sentiasa menggunakan bakatnya untuk berkhidmat kepada orang lain,” tambahnya.

Jabatan Bomba Los Angeles memberitahu NBC bahawa seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia kira-kira 78 dan 68 tahun, ditemukan meninggal dunia di dalam rumah tersebut.

Jiran-jiran mengesahkan rekod hartanah yang menunjukkan Reiner dan isterinya menetap di kediaman itu, yang terletak di kawasan elit Brentwood, menurut laporan NBC.

Reiner mula dikenali sebagai pelakon menerusi watak menantu yang dungu, Michael “Meathead” Stivic, dalam sitkom terkenal era 1970-an All in the Family, sebelum beralih kepada pengarahan dengan filem mockumentari rock This Is Spinal Tap pada tahun 1984.

Beliau kemudian mengarahkan komedi romantik When Harry Met Sally pada 1989, yang dibintangi Billy Crystal dan Meg Ryan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.