BEIJING, 18 Disember – Kelonggaran transit tanpa visa 240 jam China telah menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah kunjungan pelancong asing sejak dilaksanakan setahun lalu.
Menurut statistik terkini daripada Pentadbiran Imigresen Negara (NIA), sejak pelancaran rasmi program itu pada Disember tahun lalu, sebanyak 40.6 juta pelancong asing telah memasuki China melalui pelabuhan-pelabuhan di seluruh negara, meningkat 27.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, pelancong yang memanfaatkan polisi pengecualian visa 240 jam meningkat 60.8 peratus tahun ke tahun. Sebagai hab kemasukan utama, lapangan terbang di Beijing, Shanghai, dan Guangzhou mencatatkan peningkatan luar biasa dalam trafik penumpang asing menerusi polisi itu.
Beijing mencatatkan lebih 3.4 juta ketibaan pelancong antarabangsa, dengan 55 peratus memanfaatkan program transit tanpa visa. Shanghai pula menerima 5.346 juta pelancong antarabangsa, 56 peratus daripadanya menggunakan polisi berkenaan.
Manakala Guangzhou mencatatkan lebih 3.2 juta pelawat antarabangsa, lebih 57 peratus masuk tanpa visa melalui program tersebut. Pelabuhan-pelabuhan lain di China turut mencatat lonjakan ketibaan pelancong asing yang lebih tinggi.
Kota Xiamen di timur China mencatat pertumbuhan lebih tiga kali ganda, manakala wilayah Liaoning di timur laut mencatat lonjakan 5.7 kali ganda. Di wilayah tengah China, Hunan, jumlah pelawat asing tanpa visa ke Changsha dan Zhangjiajie dalam tempoh 12 bulan melebihi jumlah keseluruhan sembilan tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Jabatan Pengurusan Warga Asing NIA Liu Jia berkata, kelonggaran menerusi dasar itu telah meningkatan kemasukan pelancong ke China.
“Pengoptimuman polisi transit tanpa visa telah memenuhi pelbagai keperluan pelancong asing. Ramai datang untuk percutian hujung minggu atau lawatan merentas wilayah dan bandar. Masuk tanpa visa kini menjadi saluran utama pelancong asing untuk tujuan pelancongan dan perniagaan,” katanya.
Pihak berkuasa China turut mempercepat proses pelepasan kastam bagi pelancong asing. Lapangan terbang di Beijing, Shanghai, dan Guangzhou menyediakan lorong khas serta melaksanakan ‘pemprosesan sehenti’ dan pengisytiharan dalam talian.
Shanghai juga memperkenalkan terminal layan diri elektronik berserta perkhidmatan pelbagai bahasa bagi memastikan setiap penumpang berasa dialu-alukan. China secara rasmi melanjutkan tempoh kebenaran tinggal bagi pelancong asing yang layak daripada 72 dan 144 jam kepada 240 jam bermula 17 Disember 2024.
Pelancong dari 55 negara yang layak boleh memasuki China melalui 65 pelabuhan di 24 wilayah dan dibenarkan tinggal sehingga 240 jam tanpa visa sebelum menuju destinasi ketiga.- REUTERS