CARACAS, 4 Januari — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengesahkan pasukan khas tentera AS menahan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dalam satu serangan pengeboman waktu malam di ibu negara Caracas, sebelum membawanya ke Amerika Syarikat untuk dibicarakan di New York.
Trump berkata Maduro dibawa keluar menggunakan helikopter dan kini ditahan di atas kapal serangan amfibia USS Iwo Jima di Caribbean sebelum dibawa ke New York untuk menghadapi pertuduhan berkaitan dadah dan keganasan.
Trump menyifatkan operasi berisiko tinggi itu sebagai satu kejayaan besar pihaknya.
Ini sekali gus menamatkan kebuntuan berbulan-bulan antara Washington dan Caracas.
Ketua pembangkang, Maria Corina Machado, menerusi media sosial menyatakan “masa kebebasan telah tiba” dan menggesa calon pembangkang pilihan raya 2024, Edmundo Gonzalez Urrutia, segera mengambil alih jawatan presiden.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyuarakan kebimbangan mendalam bahawa operasi itu tidak menghormati undang-undang antarabangsa.
Manakala China mengecam keras serangan AS dan Perancis menegaskan penyelesaian krisis Venezuela tidak boleh dipaksakan dari luar.
Penduduk Caracas dilaporkan dikejutkan dengan letupan dan bunyi helikopter tentera sekitar pukul 2 pagi apabila beberapa serangan udara menyasarkan pangkalan tentera utama termasuk Fort Tiuna dan Pangkalan Udara Carlota selama hampir sejam.
Sementara itu, keadaan di Caracas dilaporkan kembali tenang beberapa jam selepas operasi.
Pasukan polis berkawal di bangunan awam, namun masa depan politik Venezuela selepas penahanan Maduro masih belum jelas. – AFP