SUDAN, 4 Januari – Penduduk Sudan terpaksa melarikan diri merentas sempadan dan kembali semula ke negara sendiri selepas bandar minyak Heglig ditawan kumpulan bersenjata.
Serangan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka di Kordofan Selatan, termasuk wanita, kanak-kanak dan golongan kurang upaya.
Seorang ibu lima anak, Dowa Hamed, yang lumpuh separuh badan, berkata dia terpaksa melarikan diri dengan hanya berpaut di belakang suaminya.
Penduduk melarikan diri ke Sudan Selatan sebelum dipindahkan semula ke wilayah dikuasai tentera Sudan, dan kini berlindung di kem perpindahan Abu al-Naga, berhampiran Gedaref.
Namun, keadaan di kem semakin kritikal apabila bekalan makanan semakin berkurangan, ruang perlindungan sempit dan akses air serta rawatan kesihatan sangat terhad.
Pihak berkuasa tempatan memberi amaran ribuan lagi berdepan risiko kebuluran, sementara keperluan mendesak ketika ini adalah tempat perlindungan yang selamat, khususnya pada musim sejuk. – AFP