
BANGKOK, 6 Januari- Tentera Thailand mendakwa pasukan Kemboja melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa 10 hari lalu apabila melancarkan serangan mortar ke atas wilayah sempadan Ubon Ratchathani yang mengakibatkan seorang anggota tentera cedera.
“Kemboja telah melanggar gencatan senjata,” menurut kenyataan tentera Thailand yang mendakwa Kemboja melepaskan mortar ke wilayah berkenaan pagi tadi.
Tambah kenyataan itu, anggota tentera yang cedera akibat serpihan sedang dipindahkan untuk rawatan.
Sehingga kini, Kemboja belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai dakwaan serangan terbaharu berkenaan.
Thailand dan Kemboja bersetuju gencatan senjata pada 27 Disember.
Pertikaian berdekad antara kedua-dua negara telah mencetuskan pertempuran ketenteraan beberapa kali tahun lalu termasuk pada Disember yang meragut puluhan nyawa dan kira-kira sejuta penduduk berpindah. -AFP