AMERIKA SYARIKAT, 4 Januari – Amerika Syarikat (AS) tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengambil alih kuasa dan meneruskan pemerintahan seperti yang ditinggalkan oleh Nicolás Maduro, selepas pemimpin Venezuela itu ditahan tentera AS.
Presiden AS Donald Trump, berkata Amerika akan terlibat secara aktif dalam menentukan masa depan Venezuela.
Trump menegaskan bahawa matlamatnya adalah untuk membawa kebebasan kepada rakyat negara itu.
“Kami akan terlibat dengan sangat serius. Kami mahukan kebebasan untuk rakyat,” kata Trump dalam satu temu bual telefon bersama Fox News.
Beliau turut berkata bahawa operasi berani oleh pasukan khas AS menunjukkan bahawa Amerika Syarikat tidak akan mudah ditekan atau dipermainkan oleh pihak lain.
Amerika Syarikat enggan mengiktiraf Nicolas Maduro sebagai presiden sah Venezuela dengan alasan pilihan raya pada 2018 dan 2024 didakwa tidak telus serta dicemari penipuan.
Washington secara terbuka menyokong pembangkang Venezuela dan menuduh pentadbiran Maduro terbabit dalam amalan rasuah, pengedaran dadah serta pelanggaran hak asasi manusia, sekali gus memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara.- AFP