Trump dakwa tentera Cuba terbunuh dalam operasi tangkap Maduro

WASHINGTON, 7 Januari – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Selasa mendakwa ramai tentera Cuba terkorban semasa operasi tentera AS menahan bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Trump berkata, tiada anggota AS yang terkorban, manakala pihak lawan mengalami kehilangan banyak nyawa, kebanyakannya tentera Cuba.

“Operasi itu (penahanan Nicolas Maduro) sangat kompleks. 152 pesawat terlibat. Ramai bercakap tentang tentera di lapangan, kami ada ramai tentera di situ. Tetapi ia menakjubkan.

“Fikirkanlah, tiada sesiapa terbunuh di pihak kami, tetapi di pihak lawan ramai yang terbunuh, malangnya kebanyakannya tentera Cuba, tetapi ramai, ramai yang terbunuh, dan mereka tahu kami akan datang,” katanya ketika berucap di hadapan ahli-ahli Parti Republikan Dewan Perwakilan AS di sini.

Sementara itu, Maduro, 63, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dadah pada Isnin.

Trump kini dilaporkan ingin bekerjasama dengan Presiden sementara, Delcy Rodriguez, dan pegawai kanan kerajaan Maduro, sekali gus mengecewakan pihak pembangkang serta menimbulkan keresahan di Venezuela.

Presiden AS itu juga memaklumkan beliau akan bertemu 14 syarikat insurans kesihatan dalam beberapa hari, kerana kos penjagaan kesihatan dijangka menjadi isu utama dalam pilihan raya separuh penggal AS tahun ini.

Trump menegaskan Republikan mesti menang pilihan raya separuh penggal 2026, jika tidak beliau berisiko diusulkan pemecatan oleh pihak Demokrat.

Beliau menyeru ahli-ahli Republikan bersatu dalam isu politik gender, penjagaan kesihatan dan reformasi pilihan raya, serta mempromosikan dasar-dasarnya kepada rakyat yang marah dengan kos sara hidup.

Agenda Trump menjadi taruhan pada pilihan raya November nanti apabila semua kerusi Dewan Perwakilan dan sepertiga kerusi Senat dipertandingkan. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.