Venezuela serah 30 hingga 50 juta tong minyak kepada AS

WASHINGTON, 7 Januari – Pihak berkuasa sementara Venezuela akan menyerahkan antara 30 hingga 50 juta tong minyak yang dikenakan sekatan kepada Amerika Syarikat (AS).

Presiden AS, Donald Trump, berkata minyak berkenaan akan dijual pada harga pasaran dan hasil jualannya akan dikawal oleh beliau bagi memastikan dana itu digunakan untuk kepentingan rakyat Venezuela dan AS.

“Minyak ini akan dijual pada harga pasaran dan wang tersebut akan dikawal oleh saya, sebagai Presiden AS, bagi memastikan ia dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat Venezuela dan AS,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial, pada Selasa.

Menurut Trump, beliau telah mengarahkan Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright, untuk melaksanakan pelan berkenaan dengan segera.

Minyak itu, katanya, akan diangkut menggunakan kapal simpanan sebelum dibawa terus ke pelabuhan pemunggahan di AS.

Kenyataan itu dibuat selepas kerajaan Presiden Nicolas Maduro digulingkan dan beliau dilaporkan ditahan serta dibawa keluar dari Venezuela oleh tentera AS dalam satu operasi pada hujung minggu lalu.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.