RIYADH, 30 Disember – Yaman mengisytiharkan darurat susulan tindakan kumpulan pemisah yang disokong Abu Dhabi merampas kawasan luas di selatan negara itu.
Ketua Majlis Kepimpinan Presiden, Rashad al-Alimi, turut membatalkan perjanjian keselamatan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) secara serta-merta.
“Perjanjian Pertahanan Bersama dengan UAE dengan ini dibatalkan,” kata al-Alimi dalam satu kenyataan.
Sementara itu, satu dekri berasingan mengumumkan darurat selama 90 hari termasuk sekatan udara, laut dan darat selama 72 jam.
Pengumuman itu dibuat selepas gabungan tentera pimpinan Arab Saudi memaklumkan mereka telah menyerang penghantaran senjata dari UAE yang didakwa ditujukan kepada kumpulan pemisah.
Pasukan Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong UAE dilaporkan menguasai sebahagian besar wilayah Hadramawt yang kaya dengan sumber, selain kawasan luas di wilayah Mahrah sejak bulan ini.
“STC perlu menyerahkan kawasan yang dirampas kepada pasukan disokong Arab Saudi, tindakan kumpulan itu adalah pemberontakan yang tidak boleh diterima, ” tegas al-Alimi.
Pertembungan ini berisiko meretakkan lagi kerajaan Yaman yang sudah berpecah, dengan pelbagai puak disokong kuasa Teluk, khususnya Arab Saudi dan UAE.- AFP